Demikian sapaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengunjungi emak angkatnya, Cheah Seoh Liang, 77, di Taman Desa Bersatu, Simpang Empat dekat sini sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Wanita warga emas itu merupakan ibu kepada sahabat Timbalan Perdana Menteri yang dikenali sejak 27 tahun lalu, Beh Song Wan, 54, dan Ahmad Zahid meneruskan tradisinya setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina dengan mengunjungi rakannya itu.

Timbalan Perdana Menteri tiba pada pukul 10.10 pagi disambut dengan penuh gembira oleh Song Wan atau lebih dikenali dengan nama ‘Bujang’ dan ahli keluarganya.

Ahmad Zahid turut menghulurkan angpau kepada emak ang­katnya dan bersalaman dengan kira-kira 200 penduduk pelbagai kaum yang sedia menunggu kedatangan beliau di rumah tersebut sejak pukul 8 pagi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk kemudiannya menggaul yee sang 'pecal' bersama Song Wan sekeluarga sebelum meluangkan masa lebih setengah jam menikmati juadah yang disajikan sahabatnya itu.

Antaranya kari ikan sembilang, gulai udang galah, ayam goreng berempah, pecal, sambal ikan bilis, mi goreng serta kuih muih seperti pulut panggang dan tepung talam.

Song Wan ketika ditemui selepas majlis itu berkata, dia tidak menyangka Ahmad Zahid sudi memenuhi undangan untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama kerana memahami tugas sahabatnya yang padat setiap hari.

“Tiap-tiap tahun beliau (Ahmad Zahid) sanggup datang. Saya sekeluarga benar-benar gembira. Beliau tidak lupa sahabat,’’ kata­nya yang telah bersahabat dengan Ahmad Zahid sejak pemimpin berkenaan menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk.

Menurut Song Wan, setiap kali Tahun Baharu Cina, Ahmad Zahid juga tidak pernah lupa untuk mengunjunginya, namun pertemuan itu sering kali diadakan di kedai.

“Kalau datang ke rumah, ini kali kelima. Selalunya beliau te­rus ke kedai.

“Setiap kali berjumpa, beliau pasti makan ubi rebus tapi kali ini saya menyajikan kari ikan sembilang dan udang galah. Tidak sangka, Ahmad Zahid amat menyukainya selain tidak lupa memberikan angpau kepada ibu dan anak-anak saya,’’ katanya.

Membuka kisah di sebalik nama ‘Bujang’, Song Wan berkata, nama itu panggilan manja Timbalan Perdana Menteri dan penduduk sekitar sejak dulu lagi berikutan jodohnya yang lewat sampai.