Kata Timbalan Perdana Men­teri, perkara itu berikutan cabaran utama yang dihadapi adalah sikap masyarakat negara ini yang memandang rendah dengan penggunaan bahasa Melayu di samping sikap pesimistik dan enggan menerima pembaharuan dalam penilaian tahap berbahasa mereka.

Ujar beliau, lebih memalukan apabila terdapat warga asing se­perti Rohingya dapat menguasai bahasa rasmi Perlembagaan de­ngan lancar serta fasih walaupun hanya berada di negara ini dalam tempoh empat tahun.

“Saya berasa amat dukacita kerana terdapat rakyat Malaysia yang tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik walaupun lahir dan membesar di negara ini.

“Semasa saya melawat kem pelarian Rohingya di Kutupalong, Cox’c Bazar, Bangladesh, ada beberapa pelarian Rohingya yang pernah bekerja di sini mampu bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan KSBM 2017 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu Lembah Pantai (IPGKBM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Men­teri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, usaha Kementerian Pendidikan membangunkan KSBM adalah antara inisiatif meningkatkan penggunaan bahasa Melayu standard dalam semua bidang termasuk di sektor awam dan swasta.

Justeru beliau menyeru golo­ngan korporat supaya menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi dan harian bagi membolehkan penggunaannya diperkasakan di setiap peringkat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut bersetuju untuk me­mantapkan bahasa kebangsaan itu melalui piawaian KSBM malah berhasrat membawa usul berkaitan untuk dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.

Tambahnya, piawaian KSBM ini bukan sahaja akan menjadi sejarah tetapi akan diperkasa menerusi beberapa pelaksanaan demi masa hadapan generasi akan datang.