Seperti semua sedia maklum, sebelum ini ketika kedua-dua anak pasangan tersebut dilahirkan, Yusry dan Lisa amatlah menjaga privasi keluarga mereka terutama dalam mendedahkan wajah anak-anak di media untuk tatapan khalayak.

Namun menerusi eBu Babypedia, Yusry berkata, program yang menampilkan anak sulungnya, Yahaira Leanne, 2, merupakan sebuah rancangan yang berkongsi petua penjagaan bayi kepada penonton.

"Jadi tidak timbul isu kami 'menjual' anak untuk mendapat imbuhan cuma niat sekadar mahu berkongsi kegembiraan dan kasih sayang sebagai ibu bapa.

"Lagipun program ini tidak menggunakan nama anak kami sebagai tajuk. Lebih kepada sebuah program realiti keluarga berbentuk ilmiah. Sebab itu kami bersetuju terlibat menjayakannya dari musim pertama hinggalah yang kedua," beritahu Yusry mempertahankan tindakannya.

Tambah Yusry, adalah sesuatu yang pelik dan tidak logik jika hanya dia dan Lisa sahaja yang ditampilkan dalam siaran berkenaan sedangkan eBu Babypedia merupakan sebuah program yang bercerita mengenai pengalaman ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.

"Kemunculan Yahaira dalam program ini juga adalah secara spontan kerana pihak produksi tidak menetapkan jadual penggambaran khusus untuknya.

"Disebabkan penggambaran 10 episod tersebut dilakukan di rumah kami, itu yang menjadikan program ini nampak lebih realistik termasuk dengan kehadiran Yahaira. Ketika penggambaran musim kedua, Lisa masih mengandungkan Yusof Leonne," katanya yang menimang cahaya mata kedua pada 23 April lalu. - UTUSAN ONLINE