Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Wong Poai Hong berkata, kenaikan tersebut terpaksa dilakukan untuk mengelakkan lebih ramai pengusaha taska gulung tikar.

“Pemilik taska tidak mampu lagi menyerap kos operasi terma­suk kos utiliti, bayaran gaji pekerja, kos makanan dan lain-lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Semalam, Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor, Mohanom Basri memberitahu, yuran taska di Selangor akan dinaikkan antara RM10 hingga RM50 bermula Januari 2017.

Katanya, kenaikan melibatkan 1,148 taska di bawah persatuan itu tidak dapat dielakkan ekoran kenaikan kos operasi yang membebankan para pengusahanya.

Menurut Poai Hong, ibu bapa perlu menerima hakikat bahawa kos untuk pendidikan awal kanak-kanak semakin tinggi dan perlu bersedia menerima kenaikan yuran taska itu.

Seorang ibu empat anak, Ami­za Razali, 31, berkata, kenaikan tersebut amat membebankan terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai.

“Bagi yang bekerja mereka tiada pilihan selain terpaksa juga menghantar anak ke taska walaupun yuran taska semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Ziana Mohd. Yusof, 47, pula berpendapat, kenaikan yuran taska itu akan menjadi satu beban sekiranya melibatkan keluarga berpendapatan kecil atau sederhana selain keluarga yang mempunyai anak yang ramai.

Sementara itu di KUANTAN, Presiden Persatuan Pengasuh negeri, Zubaidah Husin turut mengumumkan kenaikan yuran dan berkata, kadar yuran yang dikenakan kini antara RM300 ke RM350 sebulan, tetapi terdapat juga taska iaitu di daerah ini me­ngenakan harga RM450.

“Kenaikan itu bergantung kepada pengusaha taska itu sendiri, jika sebelum ini terdapat pengusaha yang menawarkan antara RM220 hingga RM280.

“Jika sesebuah taska itu mempunyai 40 kanak-kanak, sudah tentu pengusahanya boleh membayar kos diperlukan walaupun dengan meletakkan yuran rendah,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.