Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.

Memilih tema perkahwinan dalam taman, majlis pernikahan Yuna dan Adam dihadiri kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan terdekat.

“Majlis pernikahan tersebut berwalikan ayah Yuna, Datuk Mat Zara’ai Alias dan disempurnakan oleh Ustaz Azmi Noh dari Jabatan Agama Islam Pahang.

“Pada majlis tersebut, Adam menyerahkan tujuh dulang hantaran, manakala pihak Yuna pula membalas dengan sembilan dulang hantaran,” kata kenyataan tersebut.

Meskipun sebelum ini timbul ura-ura mengatakan Yuna bakal merahsiakan pernikahannya, namun sikap profesional selebriti antarabangsa itu wajar dipuji kerana tetap berkongsi hari bahagia mereka dengan media, sekali gus memudahkan petugas melaksanakan tugasan mereka.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Yuna bakal mengadakan satu sidang akhbar pada Sabtu ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi menjelaskan tentang perkahwinannya.

Majlis resepsi pasangan mempelai tersebut pula dijadualkan pada 28 Februari ini di lokasi yang sama.

Dalam pada itu, pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 5 Ogos tahun lalu itu turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih atas doa dan sokongan daripada semua pihak terutama para peminat mereka.