Menerusi biasiswa itu, seramai 75 orang pelajar terpilih daripada 74 buah sekolah yang berlainan, telah menerima biasiswa sebanyak RM50 sebulan sehingga tamat persekolahan peringkat rendah masing-masing di negeri ini.

Dalam satu majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kecil Tahunan YTSP Perlis 2018 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Beseri di sini, hari ini, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan sumbangan tahunan yayasan itu kepada Tabung Pendidikan Negeri Perlis 2018 berjumlah RM50,000.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sumbangan itu diterima oleh Bendahari negeri, Siti Mariam Mat Noh bagi pihak kerajaan negeri.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail dan Setiausaha YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin menitahkan bahawa golongan pelajar haruslah dipupuk dengan budaya yang terpuji terutamanya penekanan terhadap aspek disiplin, sifat kendiri, kreativiti serta inovasi.

Pada masa sama baginda juga mengingatkan bahawa segala kemajuan yang dikecapi tidak akan bermakna sekiranya ia tidak digunakan secara mentaliti kelas pertama dalam tindakan oleh masyarakat dengan optimumnya. - UTUSAN ONLINE