LEE LAM THYE (duduk, dua dari kanan) beramah mesra dengan kanak-kanak Orang Asli di sebuah perkampungan Orang Asli di Puchong, Selangor hari ini. - UTUSAN ONLINE/Gambar ihsan YSS

Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tiga komputer peribadi sumbangan Microsoft Malaysia serta tiga lagi komputer terpakai yang dibeli hasil sumbangan warga Kementerian Pendidikan pada Mac lalu disumbangkan kepada kampung terbabit.

Menurut beliau, sumbangan ini adalah untuk kegunaan penduduk kampung terutamanya murid-murid di Kampung Orang Asli Sungai Melut Dengkil, Kampung Orang Asli Bukit Tadom Banting dan Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir Puchong, dekat sini.

“Sumbangan itu bagi memudahkan akses kepada maklumat yang akan dapat membantu proses pembelajaran murid-murid Orang Asli dalam sesi pembelajaran.

“Projek ini telah berjalan setiap Sabtu bermula Februari lalu dan dijangka berakhir bulan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Lam Thye, murid-murid tersebut akan diajar oleh tenaga pengajar terdiri daripada alumni YSS, mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan 300 pelajar dari program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Tambah beliau, mereka akan bertugas secara bergilir setiap minggu di ketiga-tiga kampung tersebut dengan kaedah keseronokan pembelajaran yang diterapkan kepada murid-murid berkenaan.

“Kita juga memberi pendedahan tentang teknologi maklumat komunikasi (ICT) dan perisian komputer serta asas penggunaannya kepada belia di perkampungan tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, penganjuran program berkenaan selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) untuk mencapai satu aspirasi sistem pendidikan negara iaitu memperkasakan akses teknologi maklumat khususnya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran. - UTUSAN ONLINE