SAHRUDDIN MANAS
SAHRUDDIN MANAS

Pengurus Korporat YPJ, Sahruddin Manas berkata, pelbagai program yang dilaksanakan yayasan itu bagi membolehkan pelajar di negeri ini menerima manfaat keperluan pembiayaan pinjaman dan biasiswa bagi yang berkelayakan.

“Pemberian pinjaman pelajaran YPJ diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta melibatkan universiti di Educity, Kolej Kemahiran & Teknikal Johor (KKTJ), Kolej Pengajian Islam Johor dan Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ).

“Pinjaman turut diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara bagi pe­ngajian ijazah pertama bagi kursus perubatan dan agama di Mesir, Jordan dan Indonesia,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Sahruddin berkata, kadar tajaan pinjaman yang diberikan bergantung kepada peringkat pengajian dan institusi pengajian dipilih iaitu RM3,600 hingga RM7,000 setahun bagi pengajian dalam negara dan RM6,000 hingga RM30,000 bagi pengajian di luar negara.

“Bantuan pinjaman pelajaran tanpa bunga (interest) ini bertujuan membantu anak Johor meringankan kos per­belanjaan mereka bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sekiranya pelajar mendapat keputusan baik, mereka dikecuali­kan daripada membuat bayaran.

“Sejak 1984 hingga tahun lalu, seramai 19,967 pelajar menerima manfaat daripada pinjaman pelajaran ini yang melibatkan kos ke­seluruhan berjumlah RM265.38 juta,” katanya.

Katanya, YPJ turut menggalak­kan penggemblengan tenaga mahasiswa dalam kalangan anak tempatan di IPT seluruh negara sebagai ejen perantara antara pihak kerajaan dengan masyarakat berbentuk program bertemakan ke­usahawanan sosial menerusi program ‘Duta Jauhar’.

“Sejak diperkenalkan pada 2014, seramai 2,040 graduan mengambil bahagian dalam program ini daripada pelbagai IPT seluruh negara bagi menjayakan 106 program di Johor.

“Kumpulan graduan ini diberikan bantuan kewangan untuk melakukan aktiviti keusahawanan sosial yang mampu menjana keuntungan berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan kumpulan sasar antaranya rakyat berpendapatan rendah, miskin tegar dan ibu tunggal,” katanya.