Sumbangan sebanyak RM8,000 itu disampaikan oleh Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom kepada suami Naizura, Kamarul Azhar Ahmad dalam satu majlis di bangunan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Tunjung, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat serta Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kelantan, Abdullah Mat.

Selain waris Nai Zura, YGMB turut menyampaikan sumbangan sama kepada waris seorang lagi guru, Rozi Harun, 45, yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika pulang dari sekolah 30 Mac lalu. Sumbangan itu diterima isteri Allahyarham, Hasnenaza Mamat.

Alimuddin ketika ditemui pemberita berkata, YGMB kini mempunyai hampir 100,000 keahlian terdiri daripada guru-guru di seluruh negara.

"Setakat ini YGMB menawarkan 16 faedah kebajikan kepada ahli kita seperti kematian, jatuh sakit, ditimpa musibah, perkahwinan, melahirkan anak, mengerjakan haji dan lain-lain.

"Di Kelantan, sebanyak enam ahli YGMB menerima sumbangan kebajikan ini sepanjang tahun lalu manakala pada tahun ini, sudah ada enam ahli menerima manfaat setakat ini," katanya. - UTUSAN ONLINE