Sumbangan sebanyak RM8,000 itu disampaikan oleh Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom kepada suami Nai Zura, Kamarul Azhar Ahmad dalam satu majlis di bangunan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Tunjung, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat serta Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kelantan, Abdullah Mat.

Selain waris Nai Zura, YGMB turut menyampaikan sumba­ngan sama kepada waris seorang lagi guru, Rozi Harun, 45, yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika pulang dari sekolah 30 Mac lalu. Sumbangan itu diterima isteri Allahyarham, Hasnenaza Mamat.

Alimuddin ketika ditemui pem­berita berkata, YGMB kini mem­punyai hampir 100,000 keahlian terdiri daripada guru-guru di seluruh negara.

“Setakat ini YGMB menawarkan 16 faedah kebajikan kepada ahli kita seperti kematian, jatuh sakit, ditimpa musibah, perkahwinan, melahirkan anak, mengerjakan haji dan lain-lain.

“Di Kelantan, sebanyak enam ahli YGMB menerima sumbangan kebajikan ini sepanjang tahun lalu manakala pada tahun ini, sudah ada enam ahli menerima manfaat setakat ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyeru lebih ramai guru menjadi ahli YGMB bagi memastikan kebajikan mereka dan keluarga masing-masing terbela terutama apabila ditimpa musibah.

“Setakat ini ada kira-kira 400,000 guru di seluruh negara. Kita sasar untuk mendapatkan keahlian sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah ini, iaitu sekitar 200,000 guru pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Azhar mengucapkan terima kasih kepada YGMB dan menyifatkan sumba­ngan tersebut dapat meri­ngankan bebannya yang kini membesarkan empat orang anak yang masih belajar secara bersendirian.

“Arwah isteri amat memen­tingkan pendidikan anak-anak, jadi saya bercadang mahu me­nyimpan wang sumbangan YGMB dalam tabung pendidikan empat anak kami,” katanya.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari 16 Mei lalu, arwah Nai Zura dikatakan tiba-tiba rebah ketika duduk di atas kerusi selepas membuat persembahan Dikir Barat bersama rakan setugasnya sempena sambutan Hari Guru di sekolah mereka.