Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad mewakili kesemua staf organisasi itu untuk menandatangani dokumen berkenaan yang turut ditandatangani oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Sazali Salbi sempena Program IBR di Menara Tun Mustapha di sini.

Berucap di program itu, Sapawi berkata, etika kerja yang baik adalah asas kepada kekuatan sesuatu organisasi, justeru pengurusan Yayasan Sabah sentiasa berusaha membudayakan amalan integriti di dalam setiap lapisan organisasi berkenaan.

“IBR secara tidak langsung memperkasa pengurusan dan staf untuk memerangi rasuah serta menanam nilai-nilai integriti dalam diri mereka selain lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

“Pelaksanaan IBR Yayasan Sabah juga merupakan penzahiran aku janji kepada komitmen semua staf dalam membanteras rasuah serta sebagai bukti bahawa organisasi telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk mencegah rasuah,” jelas beliau.

Sementara itu, Sazali berkata, Yayasan Sabah adalah agensi kerajaan ke 57 di negeri ini yang telah menandatangani IBR dan berharap melalui langkah itu, setiap staf lebih berintegriti dalam menjalankan tugas.

“Saya berharap jika ada yang melihat sebarang aktiviti rasuah laporkan terus kepada SPRM kerana kita tidak mahu kumpulan ini dicemari dengan perbuatan jenayah itu,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE