Ketua Eksekutif MyAQSA, Dr. Noorazman Mohd. Shamsuddin berkata, pengisytiharan haram itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa justifikasi dan tidak sama sekali menjurus ke arah usaha keamanan, bahkan akan mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia.

“MyAQSA berpendapat sepatutnya penyelesaian yang terbaik adalah dengan mengisytiharkan kemerdekaan ibu kota al Quds yang kini dijajah oleh pihak Israel dan pengisytiharan haram ini akan mengembangkan lagi penempatan-penempatan haram Yahudi di tanah milik rakyat Palestin.

“Pengiystiharan ini juga sebenarnya akan mengulangi kesilapan perjanjian yang berlaku 100 tahun dahulu di mana pihak yang tidak mempunyai locus standi sama sekali mencampuri hal dalaman sesebuah negara,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Portal BBC memetik kenya­taan Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel ketika beliau berucap sempena pengumuman itu di White House.

Trump dipetik sebagai berkata, tindakan itu adalah langkah yang sepatutnya telah lama dilakukan dalam usaha ‘mengembalikan’ keamanan di Asia Barat dan memberi ‘manfaat’ kepada ketiga-tiga pihak iaitu AS, Israel dan Palestin.

Noorazman seterusnya berkata, perkara itu mengakibatkan rakyat Palestin menderita sehingga ke hari ini dan MyAQSA ingin menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang untuk bersatu padu menyokong segala usaha ke arah kebebasan Baitulmaqdis.

Justeru itu, jangan terkejut sekiranya pengisytiharan haram Trump itu akan membawa tindak balas rakyat Palestin iaitu Intifada al Aqsa yang semakin memuncak membawa kepada banyak pertumpahan darah, kematian, huru-hara dan merebak ke seluruh dunia.

“MyAQSA menyeru kita semua bangkit dan bersatu membebaskan Baitulmaqdis daripada penjajahan regim Zionis Israel,” katanya.