Adik Nur Zetty Muhammad Zakri, 10,yang juga mesra dengan panggilan Yayang merupakan anak pertama daripada lima beradik kini terlantar lumpuh di rumah semenjak tujuh tahun lalu.

Ibunya, Zahrah Mohd. Jamian, 32, memberitahu bahawa Yayang mula sakit sewaktu berusia tiga bulan lagi dan dari saat itu dia sering dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat daripada serangan sawan.

Namun, keadaan menjadi semakin teruk apabila Yayang dimasukkan ke ICU buat kali ke 15 pada usia tiga tahun apabila diserang sawan dan demam menyebabkan dia tidak sedarkan diri selama tiga hari, dan sebaik sahaja dia sedar, Yayang telah mula hilang keupayaan untuk bercakap dan sudah tidak mampu memegang botol susunya sendiri.

Jelas Zahrah, pada mulanya agak sukar untuk diterima bahawa anak yang dahulunya mampu bergerak tangkas seperti kanak-kanak lain tetap kini sudah tidak mampu bergerak seperti dahulu.

“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur apabila terpilih untuk menerima bantuan daripada Kumpulan Utusan yang menghadiahkan ‘standing frame’ bagi memudahkan proses fisioterapi Yayang.

“Sebenarnya sudah lama saya inginkan ‘standing frame’ kerana Yayang hanya mampu terlantar duduk dan baring sahaja, namun dengan adanya alat tersebut maka ia akan memudahkan Yayang untuk berdiri dan membantu proses fisioterapinya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, Kumpulan Utusan sentiasa memantau keadaan masyarakat sekeliling yang kurang bernasib baik.

“Ini adalah salah satu kes yang diketengahkan kepada kita, selepas dinilai daripada beberapa kes yang lain, kami membuat keputusan untuk membantu adik Yayang.

“Sumbangan ‘standing frame’ yang kita berikan ini bertepatan dengan keperluan Yayang dan saya berharap dengan bantuan ini, maka ia dapat membantu sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung mereka,”jelasnya.

Kumpulan Utusan menerusi Yayasan Kumpulan Utusan telah menghadiahkan ‘standing frame’ kepada adik Yayang sebagai salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sementara itu, bapa Yayang, Muhammad Zakri Saimon, 41, yang bekerja sebagai pegawai keselamatan di sebuah kilang di Ampang menjelaskan bahawa kekurangan yang terdapat pada Yayang tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidupnya sekeluarga.

Mengakui bahawa pada mulanya sukar menerima hakikat bahawa anak kesayangannya itu menjadi lumpuh secara tiba-tiba, namun percaya dengan ketentuan Illahi, Zakri mula menerima kenyataan tersebut dengan redha.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa apabila orang ramai mula bertanyakan adakah anaknya itu merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), saya sangat pahit menelan kenyataan tersebut, namun saya percaya ada sebab mengapa Allah memberi ujian sebegini kepada kami sekeluarga.

“Walaupun hanya berpendapatan lebih kurang RM1800 sebulan, namun saya akan sentiasa bekerja keras demi memastikan keluarga saya terus berada dalam selesa dan gembira,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE