Yayasan Angkasa merupakan anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan pembiayaan, boleh ubah kepada biasiswa bagi ahli koperasi dan anak-anak mereka melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pinjaman pendidikan itu melibatkan pembiayaan bagi melanjutkan pengajian sepenuh masa, separuh masa, pengajian jarak jauh (PJJ) sama ada di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Kata beliau, pembiayaan Yayasan Angkasa juga boleh ditukarkan kepada biasiswa sekiranya mereka memperoleh prestasi dan pencapaian cemerlang dalam pendidikan.

"Ini juga merupakan satu cara memberi motivasi agar pelajar sentiasa berada pada tahap tertinggi dan mencapai keputusan cemerlang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pembiayaan Yayasan Angkasa, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Yayasan Angkasa, Mutadho Bahri; Naib Presiden Angkasa, Dr. Mohd. Azlan Yahya dan Ahli Lembaga Yayasan Angkasa, Datuk Md. Yusof Samsudin. - UTUSAN ONLINE