Akibat perbuatan kejam itu, Yaya terpaksa bertarung nyawa untuk hidup selepas 13 tulang di seluruh badannya patah dan organ dalamannya cedera selain tangannya mengalami cacat kekal.

Daripada seorang kanak-kanak yang ceria dan manja, anak kecil ini berubah menjadi pasif serta pendiam sepanjang tempoh enam bulan penuh kegelapan di bawah penjagaan ibu tiri dan bapa kandungnya itu.

Hari ini, selepas lebih dua tahun peristiwa itu berlalu, Yaya sudah boleh melupakan memori hitam tersebut dan menjalani kehidupan baharu yang lebih sempurna bersama ibu kandung dan keluarga baharunya.

Yaya yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang juga gembira bersama rakan-rakan baharunya. Kesibukan Yaya itu membuatkan dia lupa segala peristiwa malang yang berlaku terhadapnya sebelum ini.

“Yaya gembira tinggal dengan mama dan ramai kawan di sekolah. Setiap hari mama hantar pergi sekolah dan menyediakan makanan sedap-sedap kepada Yaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kisah duka Yaya yang menjadi mangsa dera ibu tiri dan bapa kandungnya sehingga patah 13 tulang di seluruh badan, pernah menggemparkan negara dan mengundang rasa simpati semua pihak.

Bagaimanapun penderitaan yang di­hadapinya terbalas semalam, apa­bila ibu tirinya dikenakan hu­kuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan menganiaya kanak-kanak itu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Rahayu Hassan, 26, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes ber­kenaan.

Dalam masa sama, beliau turut memerintah bapa kandung Yaya, Zulkifli Che Othman, 41, didenda sebanyak RM12,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak­nya.

Sementara itu, ibu Yaya, Sana Abdul Malek, 30, berkata, anak kesayangannya itu ada memberitahunya semalam bahawa dia cukup gembira apabila mengetahui ibu tirinya dikenakan hukuman penjara.

Katanya, Yaya sebenarnya sudah tidak mahu mengingati peris­tiwa hitam yang menimpanya dan gembira menjalani kehidupan sekarang.

“Apabila orang tanya pasal kejadian itu (didera ibu tiri) dia sudah tidak mahu memberitahu. Yaya juga ada menyebut dia gembira Ayu (Rahayu) dikenakan hukuman penjara,” katanya.