Sumbangan tersebut diserahkan oleh penaung YAW, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman (StaRT), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sumbangan tersebut amat bermakna kerana dapat membantu melancarkan akti­viti-aktiviti kemasyarakatan warga perumahan PDRM Hulu Klang.

Menurutnya, sebanyak 10 perumahan polis yang dihuni lebih 2,000 orang terdiri daripada warga PDRM dan keluarga akan mendapat manfaat daripada sumba­ngan tersebut.

“Sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya, bagi menampung keperluan para penghuni dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis ramah mesra warga PDRM serta penyampaian sumbangan kepada perumahan PDRM Hulu Klang di Dewan Blok Melati di sini malam tadi.

Dalam majlis tersebut, Zulhasnan turut menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada 30 anak warga PDRM di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi yang telah menunjukkan prestasi terbaik dalam akademik.

Sementara itu, Pengerusi Blok Melati, Sub Inspektor Noor Azam Zakaria pula amat berbesar hati dengan sumbangan yang disampaikan YAW.

“Ini bukan kali pertama kerana kami tidak pernah putus mendapat pelbagai sumbangan daripada YAW di bawah Zulhasnan sejak tahun 2001 lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Zulhasnan ketika ditanya sama ada beliau tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Setiawangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

Ujarnya, adalah menjadi tanggungjawab beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa untuk memastikan jentera parti pada PRU-14 berjalan dengan lancar.

“Tahun lepas sahaja lima kali saya balik ke sini untuk bertemu dengan masyarakat dan itu bukan satu perkara yang baharu biarpun saya menjadi duta di Amerika Syarikat. Saya perlu pulang untuk menerajui UMNO dan BN kerana saya masih lagi Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa,” jelasnya.