Majlis ijab dan kabul berkenaan sepatutnya berlangsung pada pukul 8 pagi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini dan nyaris dibatalkan oleh jurunikah kerana kelewatan pasangan berkenaan.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai, dan Rujuk Daerah Petaling, Muhamad Sujak Dasuki dalam majlis serba sederhana yang hanya dihadiri kira-kira 100 tetamu dalam kalangan ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat.

Dalam majlis tersebut, Yatt turut menerima mas kahwin RM300, sebentuk cincin berlian dan wang hantaran yang dirahsiakan nilainya.

Pihak lelaki menyerahkan sembilan dulang hantaran manakala pihak pengantin perempuan membalas 11 dulang hantaran.

Yatt yang anggun mengenakan persalinan dari butik miliknya sendiri iaitu SuciByYattHamzah, melahirkan rasa syukur kerana kekosongan hatinya itu kini terisi dengan insan bergelar suami.

“Rasa sangat-sangat bersyukur, terharu dan gembira kepada Allah. Sebak pun ada juga sebab pada saat keseronokan ini, sedih itu tetap ada sebab arwah abah saya tiada di sisi kami sekeluarga.

“Di ketika hayatnya, saya sangat rapat dengan arwah dan disebabkan itu juga dengan kehadiran Zulfadhli dalam hidup ini, ia seperti mengisi kekosongan hati itu. Alhamdulillah, dia lelaki yang matang dan menerima diri ini seadanya. Doakan yang terbaik buat kami,” ujarnya menahan sebak.

Sementara itu, Zulfadhli menyifatkan persahabatan yang pada mulanya sekadar seperti adik dan kakak itu bertukar menjadi lebih serius selepas melihatkan keperibadian Yatt yang sering mengajak dia ke kelas agama.

Yatt pernah berkahwin dengan Abdul Mutalib Shukor pada 29 Mac 2009 namun bercerai dengan talak satu pada 25 Ogos 2015.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika, 5.