Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin berkata, pihaknya mempunyai perancangan besar untuk memastikan pelajar khususnya di luar bandar mendapat pendedahan latih tubi yang sama dengan pelajar di bandar.

Menurut beliau, pemilihan akhbar pendidikan Tutor kelu­aran Kumpulan Utusan adalah ke­rana isi kandungan serta latihan yang disediakan akhbar sisipan itu dibangunkan oleh guru cemerlang dan pakar dalam bidang masing-masing.

“Oleh itu, tahun depan kita menggunakan pendekatan berbeza iaitu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Utusan Malaysia melalui akhbar Tutor untuk kita agihkan ke sekolah terutama di luar bandar.

“Yapeim melihat pendekatan itu berkesan dalam membantu pelajar di luar bandar yang tidak mendapat pendedahan soalan latih tubi dan kandungan fakta berkaitan sesuatu mata pelajaran seperti pelajar di bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Inspirasi SPM Yapeim 2016 di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan Inanam, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan negeri yang mewakili Pengarah Pendidikan negeri, Muddin Beting.

Bagi tahun depan juga, Abibullah menambah, program Inspirasi SPM akan dilakukan selama empat hingga lima bulan pada setiap hujung minggu Sabtu dan Ahad berbanding sebulan tahun ini.

Kata beliau, Yapeim akan menaja akhbar sisipan Tutor untuk empat mata pelajaran yang di­pilih oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

“Yapeim memberi fokus kepada empat mata pelajaran utama untuk setiap sekolah. Oleh itu, PPD akan berbincang de­ngan guru sekolah tentang subjek penting yang perlu diberikan penekanan.

“Kita menyasarkan 145 daerah dan setiap daerah akan memilih 10 sekolah. Saya juga mencadang­kan pelajar sederhana ke bawah yang dipilih,” katanya.