Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM itu sempena sambutan Hari Keputeraan baginda.

Yang hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Lima panji yang diarak dalam istiadat itu ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Keberangkatan tiba baginda di Dataran Pahlawan Negara pada pukul 9.35 pagi disambut dengan nyanyian lagu Negaraku bersekali dengan tembakan meriam kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja.

Seri Paduka kemudian menaiki pentas khas bagi menerima tabik hormat diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai 25 pegawai dan 563 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dengan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Leftenan Kolonel Mohd. Radzi Othman.

Perbarisan selama sejam itu turut dimeriahkan dengan acara terbang lintas lima helikopter milik ATM dengan membawa bendera Jalur Gemilang. - UTUSAN ONLINE