Kejadian yang bermula kira-kira pukul 6.30 petang itu melibatkan penduduk di Kampung Bukit Besar, Kampung Haji Hashim Gelam Tiga, Kampung Alor Pinggu, Kampung Haji Lateh dan Kampung Batu 11.

Penduduk Kampung Alor Pinggu, Bashiroh Hashim, 48, berkata, bencana itu mengakibatkan banyak rumah di sekitar kampung mengalami kerosakan teruk.

“Ribut yang berlaku selama lebih lima minit itu menerbangkan bumbung rumah ke kawasan sawah berhampiran selain terdapat beberapa pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pada pukul 7.30 petang dan 16 anggota APM bergegas ke tempat kejadian.

“Setakat ini sebanyak 31 rumah terjejas melibatkan jumlah mangsa seramai 186 orang,” katanya.

Katanya, bantuan awal disalurkan kepada mangsa terlibat termasuk mengalihkan pokok yang tumbang.

“Data mengenai mangsa yang terlibat masih dikumpul dan ia dijangka bertambah,” katanya. – UTUSAN ONLINE