Ini kerana, Tabung Haji menerima banyak kes berhubung jemaah yang keliru tentang amalan haji mereka walaupun selepas 10 atau 20 tahun mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Pengurus Besar Bimbingan, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, cara untuk jemaah meyakini amalan mereka betul adalah dengan berjumpa Pembimbing Ibadat Haji untuk mela­kukan post mortem tentang amalan haji dan umrah mereka sebelum berangkat ke Madinah atau pulang ke tanah air.

Menurutnya, Tabung Haji memandang berat permasalahan itu dan menyediakan Talian Ibadat Tanah Suci (Taib) untuk jemaah bertanyakan soal hukum dengan empat soalan paling banyak di­tanya adalah isu haid, tawaf, dam dan larangan dalam ihram.

“Waktu puncak soalan ditanya adalah selepas jemaah mengerjakan umrah dan semasa masyair haji iaitu wukuf di Arafah dan semasa di Mina.

“Pembimbing akan selesaikan permasalahan pada masa itu juga kerana kita mahu jemaah buat haji dengan penuh yakin dan sempurna.

“Jika pembimbing kata tidak ada masalah, kita peganglah cakap itu sehingga kita meninggal dunia,” katanya di sini.

Menurutnya, jika ada permasalahan hukum yang baharu akan dirujuk kepada pakar yang pada musim haji tahun ini terdiri daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Penasihat Majlis Agama Islam Ne­geri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Ga­dot dan Prof. Madya Dr. Raihanah Azahari.

Menurut Tengku Aziz, apa yang selalu berlaku adalah jemaah keliru tentang amalan haji mereka selepas mendengar ceramah di masjid dan surau sedangkan perkara itu sudah lama berlalu.

Katanya, mungkin kefahaman penceramah itu tentang haji menyebabkan timbul rasa ragu-ragu jemaah tentang amalannya sebelum ini sedangkan apa yang dilakukan ketika itu adalah sempurna.

“Dengan berjumpa pembim­bing boleh bantu jemaah yakin dengan apa yang dia buat. Selepas balik Malaysia, orang kata apa pun dia tetap yakin. Keya­kinan itu membantu jemaah percaya apa yang dia buat itu betul dan sempurna mengikut hukum,” katanya.

Beliau menceritakan ada jemaah haji yang berjumpa de­ngannya kemurungan kerana ditekan oleh guru agama supaya membayar dam atau pergi semula ke Mekah sedangkan dia tidak mampu dari segi kewangan. – Utusan

“Bila jumpa, kita tanya satu persatu perkara yang dilakukan semasa haji dahulu, tak ada masalah. Bayangkan kita penat-penat buat haji orang kata tidak sah sedangkan ini hendak dibawa mati,” katanya.

Menurutnya, dari segi hukum, apabila perkara itu sudah lama berlaku tidak perlu diulang semula.

“Kita ikut apa yang kita buat semasa itu, jika kita rasa sempurna, maka sempurnalah,” jelasnya.