Beliau yang me­­rupakan jurugambar Utusan Malaysia berkata, ke­yakinan itu bersandarkan sokongan padu ahli keluarga, rakan sekerja dan rakyat Malaysia terhadap misi berkenaan.

Tambahnya, keupayaan berke­naan turut dido­rong dengan men­jalani beberapa la­­tihan intensif secara berte­rusan sehingga waktu pendakian sebenar iaitu April 2015.

“Latihan selama 20 hari lalu merupakan langkah permulaan sebelum saya menjalani latihan kedua selama tiga minggu di banjaran Himalaya yang dijangka bermula pada 15 Disember ini.

“Jika tiada masalah, insya-Allah saya yakin misi untuk membawa nama Malaysia ke puncak Gunung Everest pasti tercapai dengan doa dan sokongan daripada seluruh rakyat,” katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Kathmandu, Nepal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Noor memberitahu, selain ingin mencapai matlamat untuk menawan puncak Gunung Everest, misi tersebut juga bertujuan membawa jenama dan barangan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Katanya, kesempatan itu digunakannya dalam latihan mendaki baru-baru dengan memperkenal kopi buatan Malaysia kepada para pendaki dari seluruh dunia.

“Ramai yang ter­tarik dengan produk Malaysia dan apabila sebut negara, mereka kagum serta puji budaya dan keunikan tempat pelancongan di Malaysia,” katanya.

Mohd. Noor ber­kata, misi mendaki Gunung Everest bu­­kan satu perkara mudah kerana pendaki terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan, antaranya cuaca sejuk dan kekurangan oksigen di tempat tinggi.

Katanya, atas cabaran itu, setiap pendaki termasuk dirinya sendiri perlu menjalani latihan secukupnya sebagai persediaan untuk menawan puncak Gunung Everest jika tidak mahu berhadapan sebarang kesukaran yang terjadi kelak.

“Oleh itu, saya perlu menjalani latihan mendaki bukan sahaja di gunung-gunung da­­lam Malaysia tetapi di negara lain, khususnya kawasan beriklim sejuk,” katanya.