Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri automotif negara perlu melihat secara proaktif perkembangan terbaharu kerjasama strategik itu yang disifatkan sebagai era baharu kepada Proton.

Apa yang perlu diteliti, kata Timbalan Perdana Menteri ialah kerjasama dengan sebuah syarikat luar negara sehingga mampu membantu meningkatkan pemasaran kenderaan nasional ke peringkat antarabangsa.

"Pemain utama automotif negara harus belajar bagaimana industri China menjadi pengeluar yang pantas berkembang di seluruh dunia.

"Ini membolehkan China menjadi antara lima pengeluar utama kenderaan dunia selain Jepun, Korea, India dan Amerika Syarikat (AS).

"Seperti pendekatan industri automotif China, sudah pasti Proton mendapat akses kepada pelbagai platform dan enjin yang dibangunkan oleh Geely selain peluang menembusi pasaran sedia ada termasuk di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malaysia Autoshow 2017 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia, Datuk Madani Sahari. - UTUSAN ONLINE