Walaupun Nurshakinah, 19, masih gagal dikesan sehingga sekarang, Alisayuni berkata, dia percaya rakan baiknya itu berada di satu lokasi untuk menenangkan diri kerana sejak akhir-akhir ini Nurshakinah kelihatan berada di dalam keadaan yang tertekan.

“Saya pasti Nurshakinah berada dalam keadaan yang selamat, dia mungkin mahu menenangkan diri, saya lihat dia dalam keadaan tertekan sejak Jumaat lalu.

“Kami ada ujian mengejut di pusat pengajian minggu lalu dan saya dapati selepas ujian tersebut Nurshakinah sering mendiamkan diri, mungkin dia sedang tertekan dengan hal pelajaran.

“Polis Perancis juga memaklumkan perkara yang sama kepada saya, rakan saya ini berada dalam keadaan selamat di satu lokasi yang masih belum dikenal pasti dan mereka sedang cuba menjejakinya,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nurshakinah, pelajar jurusan Kejuruteraan Kimia Universiti Institut Teknologi (IUT) di Rouen, Perancis gagal dikesan setelah keluar dari rumah sewa bersama Alisayuni pada Ahad lalu.

Alisayuni yang turut dikenali sebagai Ayu berkata, selain membawa beg duit, dia juga mendapati Nurshakinah membawa beg galas dan beberapa helai pakaian.

“Perkara ini menguatkan lagi andaian saya bahawa dia sebenarnya mahu menenangkan diri dan akan pulang nanti,” jelasnya.

Tambah Alisayuni, sepanjang mengenali Nurshakinah, gadis itu seorang yang pendiam dan gemar memendamkan masalah seorang diri namun mempunyai asas agama yang kuat.

“Saya yakin dia tidak akan terjebak dengan sebarang anasir yang tidak sihat. Polis Perancis juga ada bertanya kepada saya sama ada Nurshakinah mempunyai kecenderungan ke arah kumpulan pelampau agama.

“Saya tahu Nurshakinah tidak akan berbuat demikian cuma dia ingin mencari ketenangan, mahu mencari semangat dirinya kerana sejak mula datang ke Perancis tahun lalu dia sering tertekan ke­rana tidak berminat untuk berada di sini,” katanya.

Sementara itu di SUNGAI PETANI, Kedah, ibu bapa Nurshakinah, bercadang membawa kembali anak gadis itu ke negara ini sekiranya dia ditemukan bagi meneruskan pengajiannya di sini.

Menurut bapanya, Naim Awang, 46, perancangan itu dibuat bagi membolehkan anak­nya kembali berasa tenang dan tidak terganggu dengan peristiwa kehilangannya ketika ini.

“Apabila kejadian ini berlaku, ada kemungkinan untuk anak saya berasa fobia atau tidak selesa tinggal di sana. Kalau itu berlaku, bagaimana dia mahu fokus pada pelajaran yang mengambil masa lima tahun lagi untuk dihabiskan?

“Disebabkan itu saya dan isteri, Nor Halizah Ahmad, 44, bercadang membawanya pulang bagi menyambung pelajaran di negara ini saja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita se­lepas menerima kunjungan Se­tiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang menyampaikan sumbangan mewakili Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Mengulas lanjut katanya, ketika mula-mula melanjutkan pelajaran ke Perancis, anak keduanya itu pernah mengadu sedikit tertekan kerana kurang bersedia dalam pelbagai aspek termasuk tidak tahu berbahasa Perancis.

“Dia pergi dalam keadaan ‘kosong’ namun saya dan isteri memujuknya dan dia nampak me­nerima.

“Selepas itu, dia tidak pula menunjukkan sebarang perubahan sikap atau mengadu apa-apa termasuk ketika menghubungi isteri saya pada 23 September lepas,” katanya.

Mengenai kesudian Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad menanggung pemergiannya dan isteri ke Perancis, Naim nyata bersyukur dan berterima kasih di atas pertolongan itu.

“Ketika berada di sana nanti, setidak-tidaknya saya boleh mendapatkan lebih maklumat mengenai apa yang berlaku. Selepas ini banyak yang saya perlu uruskan termasuk penyediaan pasport.

“Terima kasih kepada Datuk Rahim, kerajaan negeri dan semua pihak yang membantu. Tidak lupa juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan ke­selamatan anak kami,” katanya.