TUN MAHATHIR
MAHATHIR MOHAMAD

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hasil rundingan akan dimaklumkan setelah ia dimuktamadkan yang akan mengambil sedikit masa lagi.

Katanya, kerajaan ketika ini, telah melantik Tun Daim Zainuddin sebagai utusan khas Perdana Menteri bagi mengetuai proses rundingan semula projek ECRL dengan kerajaan negara China supaya penyelesaian menang-menang dapat diperolehi.

“Jika usaha rundingan semula ini berhasil, kerajaan yakin projek ECRL akan diteruskan pada skala yang sesuai dengan manfaat bakal dijana untuk kesejahteraan rakyat dan menyelamatkan Malaysia daripada beban hutang yang tinggi.

“Kita juga sedar bahawa jika perjanjian dibatalkan ia menyebabkan kosnya tinggi sebaliknya kalau skala projek itu diturunkan atau diperkecilkan atau pun dipendekkan maka kita dapat kemudahan yang sepatutnya bagi negeri-negeri di Pantai Timur tanpa perlu belanja wang serta menanggung hutang terlalu banyak,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta menyatakan status terkini projek ECRL.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, kerajaan terpaksa menilai semula projek itu secara lebih teliti bagi memastikan negara mendapat pulangan yang baik tanpa menjejaskan pembangunan negara. – UTUSAN ONLINE