Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, suatu ketika dulu, Yakeb merupakan sebuah yayasan disegani kerana berjaya membela nasib atlet serta bekas atlet apabila mereka berdepan pelbagai musibah dan masalah kesihatan.

Bagaimanapun katanya, sejak akhir-akhir ini Yakeb didapati gagal meneruskan usaha itu kerana dikatakan berdepan masalah kekurangan dana yang kritikal.

"Justeru itu, saya minta Kementerian Belia dan Sukan, terutama Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melihat kembali aspek kebajikan atlet dan bekas atlet negara yang semakin tidak terbela ini. Ada antara mereka sudah berusia dan terlantar sakit.

“Malah kita sedih apabila dengar ada bekas atlet terpaksa hidup sebagai gelandangan kerana berdepan masalah kewangan serius. Kita tidak mahu mereka sampai ke tahap itu tanpa menerima sebarang bantuan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meluangkan masa menziarahi dan memberi sumbangan kepada bekas pemain bola sepak negara, Awang Essa, 72, yang terlantar sakit sejak September lalu akibat masalah tulang belakang.

Takiyyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dalam pada itu memberitahu, sumbangan Awang dalam sukan bola sepak Kelantan dan negara ketika era kemuncak karier beliau, iaitu sekitar 1960-an perlu dikenang dan dihargai setiap masa.

"Beliau merupakan wira bola sepak kerana berkhidmat sekian lama untuk negara termasuk pernah menjadi penjaga gol pasukan kebangsaan.

"Namun kini beliau hanya mampu terlantar di atas katil akibat masalah tulang belakang. Saya harap semua pihak prihatin serta dapat memberi perhatian sewajarnya kepada wira bola sepak negara ini," katanya. - UTUSAN ONLINE