Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, tragedi yang menimpa umat Islam di dua buah masjid dan mengakibatkan kematian 50 orang umat Islam di New Zealand adalah suatu tindakan ganas yang boleh dianggap sebagai jenayah kemanusiaan yang bukan sahaja wajib dikecam oleh masyarakat antarabangsa.

Malah katanya, atas asas prinsip kebebasan dan hak asasi manusia, tembakan rambang ke atas umat Islam yang bersiap sedia untuk mengerjakan sembahyang Jumaat itu adalah suatu tindakan yang lahir dari sikap terburuk terhadap kebebasan agama yang dijamin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga kerajaan New Zealand.

“Segala jenis tindakan radikalisme tentu sangat bertentangan dengan nilai-nilai universal yang diakui oleh semua agama di dunia. Ia juga sangat bertentangan dengan konsep hak asasi manusia yang diakui oleh semua negara di dunia.

“Setiap orang mempunyai hak untuk mengamalkan dan mempraktikkan kepercayaan beragama masing-masing dan tindakan untuk menceroboh privasi itu menggambarkan betapa terkaitnya sikap dan perilaku sesetengah pihak dengan provokasi Islamophobia,” katanya dalam kenyataan di sini hari.

Dewan Rakyat Jumaat lalu meluluskan usul tergempar mengutuk serangan di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 umat Islam dan 50 orang lagi cedera.

Menurut Nik Omar, Islam sentiasa mengajar umatnya membentuk peribadi mulia, dan hal ini diakui banyak pihak sehingga menjadi agama yang paling pesat berkembang di dunia.

Bagi Islam, katanya, nyawa dan kehidupan adalah nikmat dan anugerah yang wajib dihormati dan dipertahankan bukan sahaja secara individu, komuniti mahupun secara kolektif oleh negara.

“Untuk menjunjung prinsip tersebut, setiap individu mestilah dididik dengan rasa hormat, toleransi, tolong menolong, menjunjung prinsip keadilan dan tidak melihat perbezaan kepercayaan sebagai musuh dan daya yang mencetuskan konflik,” katanya. - UTUSAN ONLINE