Sultan Johor bertitah, bahasa kebangsaan harus dijadikan bahasa penghantar sementara bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib manakala bahasa Mandarin dan Tamil pula dijadikan mata pelajaran tambahan.

“Perubahan ini harus dilakukan di peringkat sekolah rendah kerana kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah mudah untuk dibentuk. Ibarat kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebung.

“Saya juga hairan macam mana masih ada rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu. Jika rakyat tidak boleh berkomunikasi dan memahami antara satu sama lain, bagaimana hendak hidup bersama,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Perhimpunan Bangsa Johor yang dihadiri kira-kira 3,000 lapisan masyarakat berbilang kaum di Stadium Tertutup Pasir Gudang, dekat sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE