Muhammad Muhsin Ahmad Zahari

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, melalui CTO, seseorang pesakit mental akan diwajibkan untuk mengambil ubat berdasarkan perintah yang dikeluarkan oleh majistret sebagai langkah pengawalan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Katanya, cadangan itu boleh dikaji untuk di­letakkan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001.

Menurut beliau, terdapat ke­perluan untuk melaksanakan cada­ngan tersebut di negara ini dalam kadar segera dengan mengambil kira kejadian di luar jangka melibatkan kesihatan mental yang kerap berlaku pada masa ini, termasuk insiden terbaharu melibatkan amukan seorang lelaki sehingga mengakibatkan adik dan ibu saudaranya dibunuh.

“CTO sudah diperkenalkan di negara-negara seperti Australia, Korea Selatan dan Britain dan ia membantu mengelakkan kejadian tragis daripada berlaku.

“Sekiranya dilaksanakan, ker­jasama dengan pihak-pihak berkaitan antaranya pemimpin tempatan, ketua masyarakat dan rakan terdekat perlu diwujudkan bagi membantu mengenal pasti individu yang dikesan mempunyai gangguan masalah mental,” katanya ketika dihubungi di sini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental bertindak memukul sehingga mati adik kandung yang lumpuh dan ibu saudara mereka dalam kejadian di Kampung Lanai, Ba­ling, Kedah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, suspek yang berusia 32 tahun dipercayai bertindak memukul adiknya, Mohd. Azwan Wahab, 26, yang lumpuh sejak empat bulan lalu akibat kemalangan dengan sebatang kayu manakala ibu saudaranya, Rokiah Abdullah, 54, dikatakan yang cuba menenangkan amukan itu, turut dipukul pada muka dengan bata di pekarangan rumah mereka.

Jelas Muhammad Muhsin, pada asasnya gangguan mental boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu secara keturunan dan akibat daripada rangsangan dadah.

Jelasnya, individu yang mempunyai salasilah pesakit mental akan mempunyai genetik pe­nyakit tersebut dan berisiko untuk menghidapinya, namun semua itu bergantung kepada suasana persekitaran kehidupan serta budaya hidup yang dijalani.