Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kajian itu penting bagi mengatasi masalah disiplin sekali gus mencegah kes-kes yang serius hingga mengakibatkan kematian dalam kalangan mahasiswa.

“Sekiranya penyelia asrama ditempatkan di kampus-kampus IPTA, mereka akan menjadi pengawal seterusnya memantau aktiviti mahasiswa dan diyakini tahap disiplin mereka terkawal.

“Kematian pegawai kadet laut tahun tiga, Zulfarhan Osman Zulkarnain amat serius kerana ia kes pertama di IPTA dan paling menyedihkan apabila kejadian tersebut berlaku di sebuah universiti yang memberi latihan ketenteraan,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang meninggal dunia semalam selepas dipercayai didera rakan dengan seterika wap.

Dalam insiden tersebut, Zulfarhan Osman, 21, dipercayai didera dengan kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di bahagian dada, tangan dan kakinya.

Mengulas lanjut Lam Thye berkata, sekiranya rakan mangsa didapati bersalah, pihak universiti perlu mengambil tindakan tegas dan menggugurkan mahasiswa daripada pengajian sebagai pengajaran kepada pihak lain.

“Sebelum ini kes buli hanya melibatkan sekolah berasrama penuh atau sekolah harian tetapi kes terbaharu itu adalah suatu perkara yang harus dipandang serius oleh semua pihak yang berkenaan.

“Kejadian-kejadian begini amat membimbangkan dan adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan, sekolah, polis, ibu bapa dan mahasiswa itu sendiri untuk bersama-sama menangani masalah tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail pula berpandangan, pembuli biasanya mengalami masalah emosi dengan kurang rasa empati, kebanyakan mereka kurang keyakinan, menggunakan kekerasan untuk membalas dendam dan jika berdepan masalah, gagal untuk berinteraksi.

“Kebiasaannya, jika kita lihat orang yang dicederakan kita akan rasa kasihan, tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai perasaan empati, tidak merasa apa-apa. Ada juga sikap pembuli ini berkait rapat dengan pengambilan dadah sehingga menghilangkan rasa empati.

“Individu yang terbabit dengan buli selalunya datang daripada keluarga yang mengambil pendekatan hukuman dalam mendidik tanpa kasih sayang,” ujarnya.