Cadangan itu antara idea yang dikemukakan menerusi laman web khas https://bajet2018.najibrazak.com yang dilancarkan hari ini bagi mendapatkan input rakyat untuk #Bajet2018.

Menurut cadangan daripada Ahmad Mahir dalam kategori perumahan dan kehidupan bandar, kewujudan bank berkenaan boleh membantu rakyat yang mempunyai kekangan kerana telah disenaraihitamkan, tidak memiliki dokumen lengkap selain tidak layak mendapat pinjaman perumahan disebabkan tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak bank.
“Kewujudan bank seumpama ini juga boleh mengurangkan isu lambakan hartanah tidak terjual apabila kriteria untuk memperoleh pinjaman di longgarkan. Nama pada rumah boleh dikekalkan atas nama milikan pihak institusi sehingga pembayaran penuh dibuat pada institusi,” katanya seperti dipetik menerusi laman web itu, hari ini.

Dalam pada itu, antara cadangan yang paling disukai ramai ialah berkaitan pemberian elaun khas kepada semua guru berjumlah antara RM350-RM500.

Cadangan yang dikemukakan oleh Joshua P itu sebagai menghargai pengorbanan kira-kira 350,000 golongan guru di negara ini iaitu meliputi satu pertiga daripada jumlah kakitangan awam.

Selain itu, orang ramai turut mencadangkan agar kerajaan dapat memansuhkan bayaran lesen memandu dan hanya perlu dibayar sekali seumur hidup.

Cadangan daripada Khairi Mamdouh itu turut dilontarkan sama oleh Mohammad Azrul Azanin yang juga meminta kerajaan agar dapat mengurangkan harga bayaran cukai jalan untuk kenderaan keluaran tempatan kerana pada masa ini ia sangat membebankan bagi golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah.