Wakil Mahasiswa Nasional, Muhammad Farhan Khairuddin berkata, segala fakta tepat dan betul perlu dikeluarkan secara pantas agar masyarakat tidak membuat tafsiran sendiri termasuk diputar-belit oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Agensi ini diwujudkan supaya segala fakta boleh disediakan dan dari situ kerajaan mampu mengambil tindakan daripada isu-isu yang ditimbulkan.

“Apa yang menjadi masalah kita selama ini adalah lambat bertindak menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan. Ini merupakan kesilapan kerajaan. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil inisiatif supaya segala maklumat, polisi dan dasar dapat disalurkan dengan pantas sebelum wujud pelbagai persepsi,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, UMNO perlu menunjukkan teladan yang baik supaya segala masalah dalaman yang berlaku tidak memberikan persepsi negatif kepada rakyat.

Kata beliau, mana-mana parti mempunyai masalah yang sama tetapi perlu diatasi segera agar tidak menjadi wabak yang sukar dipulihkan.

Masalah dalaman parti biasa berlaku dalam semua parti tetapi UMNO perlu sedar dan selesaikan sebelum menjadi wabak.

“Pemimpin tertinggi UMNO perlu menunjukkan contoh yang baik kerana golongan mahasiswa tidak semuanya berpihak kepada UMNO yang mana 60 peratus masih berada di atas pagar, maka kita perlu buktikan apa yang UMNO boleh sumbangkan untuk anak-anak muda sekali gus memberikan keyakinan tinggi terhadap parti ini,” katanya.