Dr. Wan Azizah yang juga presiden PKR turut menolak sebarang kemungkinan perbalahan dalam parti tersebut.

"Wujud komplot? Tiada...itu semua karut," katanya ketika ditanya sama ada wujud sebarang komplot untuk mengagalkan Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Beliau ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Al-Falah, Taman Cempaka, Pandan di sini.

Isnin lepas anggota Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan mempersoalkan kesetiaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Anwar, yang juga ketua umum PKR.

Kesavan berkata, beliau tidak yakin sama ada Azmin benar-benar mahu ketua umum PKR itu dilantik sebagai perdana menteri kelapan berikutan Azmin didakwa tidak menyatakan sokongannya terhadap Anwar, yang telah diumumkan menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu, untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr. Wan Azizah turut menafikan peraturan baharu PKR yang menghalang calon pemilihan parti itu daripada mengadakan ceramah dan membuat jamuan makan dengan kehadiran lebih 100 orang, hanya ditujukan kepada individu tertentu.

Beliau menegaskan peraturan itu terpakai untuk semua calon pemilihan parti demi keadilan untuk semua pihak.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan PKR memperkenalkan beberapa peraturan baharu yang ketat untuk calon pemilihan parti itu. Pemilihan PKR 2018 akan diadakan 14 Sept sehingga 13 Okt depan.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan meminta rakyat Malaysia supaya bersatu membantu kerajaan untuk terus membangunkan negara.

"Kita (Pakatan Harapan) dah menang. Kita nak mengisi kemenangan dengan kemerdekaan. Kita perlu menjadikan ia kerajaan yang berjaya selepas 61 tahun. Saya meminta semua rakyat Malaysia untuk bersatu dalam memastikan negara bergerak menuju hala yang betul," katanya. - BERNAMA