Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sudah tiba masanya golongan itu ber­ubah demi memastikan perniagaan yang diusahakan terus berkembang sekali gus menambah pendapatan.

Menurut beliau, kementerian sentiasa membantu dengan memberi tunjuk ajar daripada pelbagai bidang terutamanya aspek teknikal.

‘‘Namun, golongan ini perlu mencari jalan terbaik bagi memastikan hasil ternakan menjadi perniagaan bukannya sekadar bersifat kebajikan semata-mata.

‘‘Pada masa sama, dalam usaha menggalakkan menambah ternakan, kerajaan juga kini sedang merancang untuk menggubal satu dasar supaya diwujudkan satu kawasan tanah luas yang dikhaskan untuk penyediaan makanan ternakan,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis perasmian Program Pemasaran Bersepadu Agropreneur Muda Ternakan bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Zainal Dahlan dan Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah Pertubuhan Peladang Kawasan Selangor, Dr. Abdul Razak Kasbollah.

Terdahulu, Ahmad Shabery melepaskan kira-kira 1,500 ekor lembu korban untuk diedarkan ke seluruh Lembah Klang.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Shabery mengingatkan golongan petani supaya mengambil peluang yang tersedia dengan mempelbagaikan hasil tanaman.

‘‘Ini adalah peluang yang terbaik untuk menunjukkan kesungguhan dalam memperjuangkan nasib penternak dan peladang.

‘‘Mereka perlu mencipta kekayaan melalui hasil pertanian dan bukannya sekadar bergantung kepada usaha kerajaan yang ingin membantu golo­ngan ini keluar daripada garis kemiskinan,’’ ujarnya.