Pengasas WQH, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, tinggal sehari sahaja lagi sebelum seluruh dunia bergabung selama sejam untuk membaca dan berinteraksi dengan al-Quran sebagai permulaan umat ke arah kerangka fikir al-Quran dan akhlak Muslim yang sejati.

“Selama tiga tahun pelaksanaan WQH, kami menyaksikan usaha ini mengalami ‘organic growth’ dan diterima baik oleh semua. Tarikh 7 Jun ini sama-sama kita gemakan kalam Ilahi dari Malaysia ke seluruh dunia bermula pukul 12 tengah hari hingga 1 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Program WQH yang dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu menghimpunkan umat Islam sedunia membaca al-Quran secara serentak selama satu jam yang akan diadakan pada 7 Jun bersamaan 22 Ramadan 1439H, bermula pukul 12 tengah hari.

Program World #QuranHour peringkat perdana akan berlangsung di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak dan menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual berangkat ke majlis tersebut.

Dalam pada itu, Hussamuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. menambah, umat Islam yang ingin bersama menyertai program tersebut boleh membuka surah al-Hujurat dan mengikuti siaran langsung di saluran Astro Oasis.

“Mereka juga boleh datang ke lokasi utama di UIAM Gombak atau bersama di lokasi di setiap negeri yang boleh disemak di laman Facebook World #QuranHour.

“Umat Islam di negara ini juga boleh melakukannya di lokasi masing-masing sama ada di pejabat, rumah ataupun boleh berhenti sebentar sekiranya di dalam sesuatu perjalanan. Mereka juga boleh berkongsi gambar masing-masing ke media sosial menerusi tanda pagar World #QuranHour,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, sehingga kini pihaknya telah menerima kira-kira 1,237 lokasi pelaksanaan World #QuranHour di seluruh dunia.

“Di luar negara juga mendapat sambutan menggalakkan apabila terdapat 67 buah lokasi di 30 buah negara telah mengesahkan penglibatan selain satu lokasi masing-masing di Mekah dan Madinah.

“Di tanah air pula, program ini melibatkan sebanyak 1,187 lokasi serta 40 lokasi di penjara dan 22 lokasi di Maahad Tahfiz al-Quran ADDIN.

“Kami menjangkakan sambutan program perdana pada tahun ini di UIAM Gombak akan mendapat penyertaan lebih ramai kerana dijalankan pada 22 Ramadan iaitu dalam 10 hari terakhir Ramadan berbanding sebelum ini dilaksanakan pada 9 Zulhijah,” katanya.-UTUSAN ONLINE