Eksekutif Masjid Negeri, Mohd. Nidzar Nor Mohamad berkata, program yang dianjurkan itu berjaya mencapai matlamat untuk menyemai budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.

Katanya, program tersebut amat baik dan perlu diperkasakan dengan melibatkan lebih ramai penyertaan termasuk golongan muda.

Jelasnya, program itu dapat dijadikan titik permulaan untuk setiap individu agar lebih mencintai al-Quran atau menjadikan ‘al-quran sebagai sahabat’.

“Apa yang dapat dilihat budaya pembacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat kita juga sudah meningkat hasil penganjuran program seumpama ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Negeri di sini hari ini.

Nidzar berkata, agensi agama perlu bekerjasama dengan pertubuhan belia dalam menganjurkan program atau majlis seumpama itu bagi menarik minat golongan terbabit menceburkan diri.

“Saya nampak golongan muda pun sudah ramai yang berminat dengan program keagamaan sebegini, cuma perlu lebih diperkasakan,” katanya. - UTUSAN ONLINE