Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Wisma Putra sudah mendapat maklumat mengenai penahanan berkenaan dan lazimnya Pejabat Perwakilan Malaysia (Malawakil) akan cuba memberi bantuan apabila terdapat kes rakyat Malaysia ditahan di luar negara.

“Ada dua perkara, pertama kita mesti menghormati proses perundangan di mana-mana negara. Cuma tanggugjawab kita juga ialah membantu rakyat Malaysia yang ditahan itu khususnya bantuan guaman.

“Yang paling utama bantuan guaman, soal salah atau tidak itu bergantung kepada proses undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen dan PH Indera Mahkota di Dewan Atabara di Indera Mahkota di sini malam ini.

Beliau ditanya mengenai penahanan enam warga Malaysia selepas Polis Indonesia menemukan dadah jenis syabu seberat 37 kilogram dalam kapal layar ‘Carron Layner’ yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara, pada 9.30 malam, Selasa lalu.

Direktor Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia Krisno Siregar dilaporkan berkata, kapal itu dipercayai belayar dari Johor ke Jakarta pada hari yang sama ia ditahan.

Lima daripada suspek ditahan itu berasal dari Johor, manakala seorang lagi berasal dari Perak.

Difahamkan, dadah itu dipercayai berasal dari Myanmar.

Semua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Pasal 114 Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2019 berkaitan dadah, dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Menurut Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, lazimnya Malawakil mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri dan mereka akan secepat mungkin bertemu dengan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara atas pelbagai sebab. - UTUSAN ONLINE