Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan telah mengadakan lawatan konsular sebanyak tiga kali iaitu pada 16 dan 21 Januari serta 14 Februari lalu bertujuan memastikan aspek-aspek kebajikan, keperluan asas dan kemudahan perubatan kepada para tahanan sentiasa terpelihara.

Berikutan itu, jelasnya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah mengutus surat kepada rakan sejawat beliau dari republik tersebut, Retno L.P. Marsudi pada 18 Februari lalu.

"Surat itu adalah bagi meminta kerjasama Kerajaan Indonesia untuk memberi perhatian kepada isu-isu kebajikan dan kesihatan para tahanan serta mempercepatkan proses perundangan bagi mereka yang terbabit.

"Sehubungan itu, Konsul Jeneral Malaysia di Medan akan mengadakan satu lagi lawatan konsular dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Pendakwaraya dan Pengadilan Palembang bagi memudah dan mempercepatkan proses perundangan," katanya di sini hari ini.

Kenyataan itu menegaskan, Kementeran Luar sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga Malaysia yang ditahan di luar negara sentiasa diberi keutamaan.

Menurutnya, rakyat Malaysia diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan imigresen negara yang akan mereka lawati dengan memohon visa bersesuaian dengan tujuan lawatan.

"Kerajaan Malaysia sentiasa menghormati perundangan Republik Indonesia dan tidak akan campur tangan di dalam urusan perundangan tersebut dan menghargai segala kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Republik Indonesia di dalam memudahkan urusan konsular kepada semua tahanan," katanya. - UTUSAN ONLINE