Kenyataan kementerian itu menyebut, susulan tindakan itu, kerajaan hari ini turut mengambil keputusan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Pyongyang, Mohamad Nizan Mohamad untuk proses perundingan.

Menurut kenyataan itu, Kang Chol dalam sidang akhbar pada 17 Februari lalu telah memberikan gambaran bahawa Malaysia mempunyai ‘sesuatu untuk di­sembunyikan’ dan mendakwa negara ini ‘berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar’ dalam mengendalikan kes kematian Jong-nam.

“Kita telah memanggil Kang Chol untuk mendapatkan penjelasan berhubung tuduhan beliau ke atas Malaysia dan pada hari ini, beliau telah bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala, Raja Nushirwan Zainal Abidin.

“Memandangkan kematian te­r­­sebut berlaku di Malaysia da­lam keadaan yang mencurigakan, maka adalah menjadi tanggungjawab negara ini untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian,” kata Kementerian Luar dalam kenyataannya di sini hari ini.

Jelas kenyataan tersebut, penyiasatan kes berkenaan telah dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan di bawah undang-undang negara dan Kang Chol turut dimaklumkan bahawa kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, justeru, proses bedah siasat perlu dijalankan.

“Pihak Kedutaan Korea Utara juga telah dimaklumkan bahawa sebaik sahaja siasatan selesai, mayat akan diserahkan kepada waris mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada di negara ini. Oleh itu, kerajaan menganggap kritikan yang dibuat oleh Kang Chol sebagai tidak berasas.

“Malaysia mengambil serius atas segala tuduhan yang dilemparkan yang bertujuan mencemarkan reputasi negara,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kenderaan rasmi yang membawa Kang Chol memasuki perkarangan Kementerian Luar pada pukul 9.55 pagi dan keluar 11.30 pagi.

Usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Kang Chol gagal kerana kenderaan dinaiki­nya tidak berhenti walaupun cuba ditahan oleh wartawan.

Hampir 50 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di perkarangan Wisma Putra di sini sejak pukul 7 pagi selepas dimaklumkan Kang Chol dipanggil memberi penjelasan berhubung tuduhannya terhadap Malaysia dalam sidang akhbar pada Jumaat lalu.

Isnin lalu, Jong-nam maut selepas disembur sejenis cecair yang dipercayai racun di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum sempat berlepas ke Macau.

Jong-nam yang kemudian mengadu sakit telah dirawat di klinik di lapangan terbang tersebut sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Susulan itu, polis bertindak menahan dua suspek wanita iaitu warga Vietnam, Doan Thi-huong, 29, dan Siti Aisyah, 25, dari Indonesia, seorang lelaki tempatan, Muhammad Farid Jalaluddin, 26, serta seorang lelaki warga Korea Utara, Ri Jong-chol, 47.