Ketuanya, Marini Nasution Harun Seribu Jaya berkata, usul yang diterima dalam per­sidangan selama empat hari itu adalah berkaitan belanjawan, pendidikan, kos sara hidup dan liberalisme.

Menurut beliau, empat isu tersebut menerima maklum balas yang cukup positif dalam kalangan ahli-ahli Wi­rawati Perkasa setakat ini.

“Kita menggunakan pendekatan mengambil kira suara hati dan pandangan pelbagai kelompok berkepentingan da­ri­pada akar umbi yang terdiri daripada pelbagai peringkat.

“Saya menganggap persidangan ini juga merupakan sebahagian daripada perjalanan kita demi mencapai matlamat perju­a­ngan Perkasa se­perti dibincangkan sebelum ini,” katanya selepas mempengerusikan persidangan sayap berkenaan.

Dalam pada itu, Marini berkata, pi­haknya juga akan memberi fo­kus agenda ekonomi se­bagai langkah meningkatkan taraf hidup golongan wanita dalam Perkasa dan juga kaum wanita bumiputera di negara ini.

“Melalui persidangan ini juga kita dapat memastikan bahawa Perkasa merupakan sebuah pertubuhan yang be­nar-benar mantap dalam memperjuangkan agama, bang­sa dan negara.

“Apa yang kita bincangkan nanti semua datangnya dari pelbagai peringkat. Kami mengharapkan yang terbaik demi wadah perjuangan Perkasa,” ujarnya.