Menurut Watson, 41, dia ketika ini masih susah untuk mene­rima permohonan maaf tersebut kerana mendiang bapanya dipandang seperti seekor haiwan.

“Walaupun minta maaf di te­levisyen, saya susah nak terima ke­rana lihat macam mana bapa saya dipandang seperti seekor haiwan dan apa perasaan anda semua.

“Mungkin satu masa nanti baharu terbuka terima permohonan maaf ini, sekarang belum hendak terima,” katanya dalam sidang akhbar dibuat Primeworks Studios dan Watson di sini hari ini.

Tambahnya, pagi tadi beliau telah membuat laporan polis bagi mendapatkan keadilan ke­rana kejadian itu bukan perkara main-main dan lawak .

Katanya, beliau akan tetap meneruskan tindakan undang-undang kerana ia berkaitan dengan maruah keluarga yang membawa rasa malu kepada keluarga.

Sementara itu, Ke­tua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, polis akan memanggil pengacara dan produser ran­cangan berkenaan untuk membantu siasatan berhubung la­poran yang dibuat bekas pelari kebangsaan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios,  Datuk Ahmad Izham Omar berkata, rancangan Sukan Tak Sentral ditamatkan sia­rannya serta-merta dan tugas pengacaranya, Azizul Ammar Abu Hassan bersama enam kru digantung tanpa tempoh masa ditetapkan.

Katanya, pihaknya kesal dengan insiden itu dan memohon maaf kepada Watson, keluarga serta seluruh rakyat khususnya di Sarawak yang tersinggung dengan rancangan dan tindakan pengacaranya.

Sementara itu Azizul Ammar memberitahu, dia mengakui kesal dengan perbuatannya dan me­negaskan tidak mempunyai sebarang niat untuk mempersendakan Watson, mendiang bapanya dan keluarga bekas jaguh pecut itu.

Jelasnya, dia mengakuinya terlepas pandang dalam membuat jenaka yang juga memberi kesan kepada kerjaya serta keluarga,” ujarnya.