Menterinya, Tan Sri Noh Omar ber­kata, sebelum sebarang urus niaga dibuat, orang ramai dige­sa supaya memeriksa dengan Ja­ba­tan Perumahan Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkaitan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

“Saya menggesa kalau mendengar mana-mana skim yang tidak munasabah, sila laporkan kepada Jabatan Perumahan Negara. Kita dapati skim penipuan ini bukan hanya satu atau dua syarikat tetapi melibatkan banyak syarikat.

“Terbaharu laporan yang saya terima ialah mengenai penjualan borang rumah PPR dengan harga antara RM5,000 hingga RM10,000 oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga merugikan banyak mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampai­an Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 223 warga KPKT di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setia­usaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Dalam pada itu, Noh turut me­ng­ingatkan pegawai-pegawai ke­­­men­teriannya supaya mengamalkan sikap berintegriti dan tidak terlibat dengan mana-mana sindiket penipuan termasuk menjual borang PPR.

Katanya, jika berlaku perkara se­demikian, orang ramai dan mangsa tidak akan menyalahkan sindiket berkenaan sebaliknya menuding jari kepada pihak kementerian.

Sementara itu, Mohammad dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada seluruh warga kementerian itu kerana berjaya menduduki tempat kedua daripada 25 kementerian selepas mendapat markah 99.94 peratus menerusi Prestasi Perbelanjaan Pembangunan pada tahun lalu berbanding tempat kelapan pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, pada tahun lalu juga kadar Kitar Semula Nasional telah berjaya ditingkatkan sebanyak 3.4 peratus berbanding hanya sasaran dua peratus.

“Bagi pelaksanaan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) pula sebanyak 952 orang telah layak menerima skim ini berbanding sasaran sebenar sebanyak 600 orang penerima sahaja,” katanya.