Abdul Azeez Abdul Rahim

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ada tawaran berke­naan memperkenalkan promosi yang tidak masuk akal antaranya ‘pakej haji RM50,000 dikurangkan sehingga RM15,000’.

“Berhati-hati dengan tawaran pakej haji seperti ini. Tabung Haji tidak mahu ada jemaah yang pergi tanpa pengetahuan TH Travel dan 19 agensi pelancongan yang berdaftar di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH).

“Dikhuatiri mereka ini apabila terkandas di Tanah Suci nanti, tidak boleh keluarkan duit atau menerima rawatan di hospital di sana kerana tidak dapat dikesan dalam sistem jemaah Tabung Haji.

“Walaupun anda pergi menggunakan visa Furada (visa persendirian), sila buat pengesahan dahulu dengan mana-mana cawangan Tabung Haji dan negeri,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mengenai masalah visa yang dihadapi sebilangan bakal jemaah Malaysia, Abdul Azeez berkata, hanya 14 daripada 532 jemaah sahaja yang belum berlepas ke Tanah Suci.

“Mereka yang terbabit dalam masalah ini berlepas dalam satu dua penerbangan setiap hari. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin dengan masalah ini dan mahu ia diselesaikan dengan segera,” katanya.

Abdul Azeez turut mengi­ngatkan jemaah haji Malaysia supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi berikutan langkah-langkah ke­selamatan yang diperketatkan untuk musim haji kali ini.

“Tabung Haji berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang mengambil langkah proaktif dalam saringan keselamatan terhadap seluruh jemaah haji. Hubungan Kuala Lumpur-Riyadh juga menempuh era baharu dengan semangat silaturrahim yang erat hasil kunjungan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke negara ini Februari lalu,” katanya.

Setakat ini sebanyak 76 penerbangan membawa 27,537 jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci.

Baki 36 penerbangan lagi akan menyusul dengan penerbangan terakhir 28 Ogos ini.