Nur Anis Farhanah berkata, kejayaan itu tidak diperolehnya dengan mudah sebaliknya terpaksa mengikuti kursus di peringkat sarjana muda dalam tempoh tiga tahun dan memerlukan banyak pengorbanan dari segi masa serta wang ringgit.

“Sebelum ini saya ambil Teaching English as a Second Language (TESL) ketika di peringkat asasi sebab ingin mempelajari benda baharu, bagaimanapun selepas itu kawan-kawan memperkenalkan bidang komunikasi ini.

“Setelah mempelajari bidang ini, lama-kelamaan timbul minat. Saya sentiasa memberikan tumpuan penuh dalam pengajian selain mendapat sokongan daripada ayah dan ibu,” kata anak perempuan tunggal dalam keluarga yang berasal dari Perak ini.

Tambah Nur Anis Farhanah, sikap suka bertanya dan rajin menghadiri kuliah menjadi formula kejayaannya selain perlu menolak sikap pasif dalam kuliah sekiranya ingin meningkatkan pemahaman.

Katanya, dia sendiri sentiasa aktif dan tidak malu bertanya kepada pensyarah ketika berada dalam bilik kuliah atau semasa melakukan aktiviti kerana pendekatan itu memberi banyak kelebihan.

“Saya banyak bertanya bukan bermaksud saya kurang bijak atau sengaja mengganggu perjalanan kuliah atau rakan-rakan lain. Sebaliknya, ini adalah salah satu cara komunikasi secara ilmiah,” ujarnya.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said menyampaikan anugerah pada Istiadat Konvokesyen Ke-88 bermula 7 April hingga 29 April dengan seramai 25,886 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.-UTUSAN ONLINE