Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun isu tersebut di luar bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Orang Asli, beliau akan memastikan 134,440.99 hektar tanah masyarakat itu yang melibatkan 853 buah perkampungan di seluruh negara diwartakan.

Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 32,777.37 hektar telah diwartakan, 19,870.08 hektar telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri namun masih belum diwartakan manakala 74,838.86 hektar lagi dalam permohonan untuk diwartakan.

“Kuasa kita melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hanya mengukur tanah, selepas ukur kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk mereka wartakan kerana tanah adalah kuasa kerajaan negeri.

“Beberapa negeri dilihat serius menangani isu ini. Perak dan Pahang contohnya menubuhkan pasukan petugas khas untuk selesaikan pewartaan tanah Orang Asli, begitu juga dengan Johor, Melaka pula hampir selesai.

“Kalau timbul isu tanah tidak diwartakan lagi, itu bukan salah JAKOA sebab kita telah serahkan jumlah keluasan tanah kepada kerajaan negeri untuk diwartakan. Namun sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya akan mendesak kerajaan negeri untuk selesaikan isu tanah ini dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pemukiman Tok Batin dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setia­usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dolah; Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Orang Asli, Datuk Isa Ab. Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah JAKOA, Ajis Sitin.

Dalam majlis itu, Ismail Sabri me­nyam­paikan kad pengenalan khas kepada 604 orang Tok Batin serta Bayaran Khas one-off seba­nyak RM1,000 kepada Tok Batin dan 268 orang JKKKOA yang ha­dir.

Bayaran itu merupakan sebahagian insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018.

Menurut Ismail Sabri, pihak­nya mengambil berat peranan Tok Batin dan JKKKOA dalam membangunkan corak pemikiran, gaya hidup dan matlamat masyarakat Orang Asli di negara ini.

Oleh kerana itu, kata beliau, JAKOA sentiasa mengadakan pelbagai jenis program bersama Tok Batin dan JKKKOA seperti Bengkel Penyemakan Garis Panduan Tok Batin, Simposium Tok Batin dan JKKKOA serta Program Sijil Tadbir Urus Desa dengan kerjasama Ins­titut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan juga sedang giat memba­ngunkan kemudahan infrastruktur di kawasan perkampungan Orang Asli dan Perdana Menteri sendiri dalam pembentangan Bajet 2018 telah memperuntukkan RM60 juta untuk Program Pembangunan Bersepadu Perkampu­ngan Orang Asli.

“Sehingga hari ini, kementerian telah menyediakan kemudahan jalan kampung sebanyak 84 peratus, bekalan elektrik 80 peratus, bekalan air 79 peratus dan 82 peratus Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) di seluruh perkampungan Orang Asli di seluruh negara.

“Kementerian berharap menjelang 2023, semua kemudahan tersebut dapat disediakan 100 peratus sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya.

Ujar Ismail Sabri lagi, kerajaan juga serius dalam meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli dan ia boleh dilihat melalui pengurangan kadar keci­ciran pelajar sekolah rendah dari Tahun 6 ke Tingkatan 1 iaitu daripada 20 peratus pada 2015 kepada 16.75 peratus tahun lalu.

Katanya, sehingga hujung bulan lalu, seramai 102 orang pelajar Orang Asli bersekolah di sekolah berasrama penuh, 845 orang me­nun­tut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di pelbagai pe­ringkat dan 87 orang melanjutkan pengajian ke luar negara.

Lebih membanggakan, ujar beliau, terdapat lima Orang Asli yang berjaya memiliki Doktor Falsafah (PhD) dan enam orang lagi masih menuntut di peringkat itu.

“Selain tumpuan akademik, pihak kementerian melalui JAKOA juga memberi perhatian terhadap pembangunan kemahiran dan kerjaya masyarakat Orang Asli melalui Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK).

“Program ini telah dilaksanakan mulai 2011 dan sehingga tahun lalu, seramai 6,541 pelatih berjaya mengikuti program tersebut,” katanya.