Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak, Noorhanita Mohamad berkata hasil semakan status yang dilakukan termasuk berdasarkan laporan akhbar mengenai insiden itu, mendapati ibu bapa mangsa layak mendapat faedah itu kerana mendiang masih bujang.

"Waris mendiang iaitu ibu bapanya layak menerima bayaran sebanyak RM684.40 setiap bulan seumur hidup melalui faedah pencen penakat.

"Bayaran ini dibuat berdasarkan kiraan 58 peratus daripada gaji purata Uma Devi selama 40 bulan sebelum beliau meninggal dunia," katanya pada majlis penyerahan cek bayaran itu di kediaman bapanya di Pekan Razaki di sini, hari ini.

Sementara itu, bapa mendiang N. Konasagaran, 60, berkata beliau amat berterima kasih dengan keprihatinan pihak Perkeso kerana dapat menyerahkan bayaran dengan segera.

"Sehingga sekarang saya masih belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak. Ketiadaan mendiang amat memberi kesan kepada kami sekeluarga," katanya.

Mendiang yang bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah syarikat swasta di Damansara, Selangor dipercayai dibunuh teman lelakinya di rumah lelaki terbabit di Sri Gombak sebelum mayatnya ditemukan di dalam gaung di Kilometer 19, Jalan Gombak Lama menghala Genting Sempah, 10 April lalu. - BERNAMA