Pengiktirafan itu diperoleh UiTM hasil ekspedisi di bawah program XPDC 111116 Pendakian Puncak Gunung Secara Serentak Di Seluruh Malaysia melibatkan 1,500 warga universiti berkenaan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangannya pada November tahun lalu.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian tersebut lebih-lebih lagi jumlah pendakian itu bertepatan dengan sambutan 60 tahun penubuhan UiTM.

“Pencapaian ini juga turut memecahkan rekod yang dibuat oleh warga UiTM sendiri melibatkan 30 pendakian puncak gunung pada November 2011. Program ini adalah untuk me­nye­mai nilai cintakan alam se­ki­tar dan seterusnya mewujud­kan atlet yang mempunyai pe­mikiran yang bijak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mene­ri­ma Sijil Pengiktirafan XPDC 111116 Pendakian Puncak Gunung Secara Serentak Di Seluruh Malaysia di Bangunan Canseleri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohd. Said dan Pegawai MBOR, Norasyikin Ramli.

Dalam pada itu, Hassan turut menyatakan rancangan UiTM akan menubuhkan Pusat Penyelidikan Altitud Tinggi di Sabah tidak lama lagi bagi mengkaji aktiviti sukan ekstrem dan kajian lain yang bermanfaat kepada bidang akademik.

“Kita akan menubuhkan Pusat Penyelidikan Altitud Tinggi sejajar dengan kejayaan UiTM yang pernah menghantar 11 pelajar dan kakitangan mendaki Gunung Everest sejak beberapa tahun yang lalu,” katanya.