Penyelaras program itu, Fauziah Ismail berkata, program yang melibatkan murid beragama Islam itu dilaksana setiap hari pada waktu rehat dengan bertadarus al-Quran di bawah bimbingan guru.

Menurutnya, pelaksanaan program ini diputuskankan dalam mesyuarat khas Panitian Agama Islam dalam usaha memupuk penghayatan kemuliaan Ramadan setiap kali tibanya bulan puasa.

“Pada setiap hari Ahad tazkirah agama berkaitan adab berpuasa disampaikan oleh guru dan murid secara bergilir-gilir, program santapan rohani diadakan pada setiap Isnin hingga Khamis kira-kira 15 minit sebelum pengajaran dimulakan pada waktu pertama.

“Selain masa rehat digunakan untuk bertadarus dan rehat minda, kuiz ramadan bertulis dan lisan turut diadakan dengan insentif hadiah kepada murid-murid,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Guru Besar, Wan Abdul Aziz Wan Noh turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kuiz Ramadan yang diadakan sepanjang bulan ini.

Fauziah berkata, program tersebut adalah tradisi tahunan sekolah ini sepanjang bulan Ramadan.

“Murid-murid yatim juga turut disantuni dengan pengagihan wang zakat yang disumbangkan guru dan tokoh korporat tempatan termasuk pengusaha perikanan yang berdekatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE