Tinjauan Utusan Online di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati kebanyakan warga kota yang menuju ke arah pantai timur memilih untuk menaiki bas seawal pukul 8.00 pagi.

Ini kerana menurut seorang pekerja swasta, Rozli Sulaiman, 36, perjalanan ke negeri kelahirannya seperti Tumpat, Kelantan kebiasaannya mencecah lebih 10 jam pada musim perayaan sebegini.

“Saya akan balik ke Kelantan esok pagi dan hari ini, saya sebenarnya cuma temankan rakan serumah saya yang akan balik ke Pasir Mas pagi tadi memandangkan dia telah mendapat cuti yang lebih awal.

“Apa-apa pun, saya bersyukur kerana masih dapat membeli tiket bas seperti biasa untuk balik ke kampung kerana kami telah membelinya sebulan awal secara atas talian,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Ujar seorang lagi pengguna perkhidmatan di TBS yang akan pulang ke Perak, Muhd. Saufi Mustafa, dia mengakui penggunaan bas untuk pulang ke kampung adalah lebih efisien dan selamat bagi dirinya.

“Dengan menaiki bas, kita tak perlu berfikir tentang apa-apa. Cuma duduk, berehat dan menunggu untuk tiba ke destinasi. Lagipun, setiap syarikat bas kebanyakannya mempunyai pemandu yang berpengalaman.

“Saya amat berharap risiko di kemalangan di jalan raya dapat diatasi sepanjang musim perayaan ini dengan pemanduan yang berhemah kerana masing-masing mahu pulang bertemu keluarga untuk meraikan hari yang gembira,” katanya. - UTUSAN ONLINE