Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ini merupakan kali keempat pihak koperasi sekolah di peringkat negeri menunjukkan komitmen membanteras rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas negeri Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan.

Katanya, program tersebut merupakan satu usaha murni bagi memberi kesedaran kepada kakitangan dan ahli koperasi dalam membasmi rasuah dari peringkat akar umbi.

"Dengan kerjasama SPRM, kami ingin mendedahkan bahaya gejala rasuah dan cara menanganinya terhadap sekurang-kurangnya 20,000 ahli lembaga koperasi sekolah yang terdiri daripada guru-guru dan pelajar di seluruh negara.

"Kami menyokong usaha penuh dalam menghapuskan gejala rasuah khususnya di peringkat gerakan koperasi dan pada masa yang sama memastikan imej dan integriti koperasi adalah bebas daripada rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis lafaz ikrar bebas rasuah peringkat negeri Selangor di Kelana Jaya, di sini hari ini . -UTUSAN ONLINE